Selamat Datang Salam Perjuangan

>Selamat Datang Salam Perjuangan

Ahad, 7 April 2013

Penggunaan Dialek Dalam Media Sosial



Peribahasa Melayu pernah menyatakan lain hulu lain parang, lain dahulu lain sekarang, sekali air bah, sekali pantai berubah. Daripada ungkapan peribahasa Melayu ini dapatlah kita tafsirkan bahawa sesuatu keadaan tidak akan kekal lama namun akan berubah apabila sampai waktu dan ketikanya. Begitulah tajamnya daya intelektual local genius Melayu dalam mengimplikasikan  kejadian alam di dalam kehidupan seharian kita. Bak kata cerdik pandai Melayu alam terkembang dijadikan guru.
 Hal ini boleh juga kita lihat kepada perkembangan teknologi maklumat yang  pesat membangun ketika ini. Kemajuan dunia IT yang kian ketara di samping ledakan globalisasi tanpa sempadan telah memungkinkan masyarakat dunia dapat berinteraksi antara satu sama lain di mana sahaja tanpa sebarang halangan mahupun sekatan geopolitik. Perkara ini turut dikongsi oleh  Waters 1995 yang dipetik daripada makalah Mohd Salleh Azman, Bahasa Melayu Dalam Dunia Globalisasi. Menurut Waters globalisasi ialah proses sosial yang memperlihatkan kekangan geografi yang semakin berkurangan terhadap hal ehwal kemasyarakatan dan budaya, dan manusia sedar bahawa kekangan tersebut semakin berkurangan.  Oleh yang demikian, ia telah membuka peluang kepada masyarakat dunia untuk memperoleh maklumat  dengan  pantas dan mudah.
Kemunculan media baharu atau dengan kata lainnya media alternatif adalah hasil daripada kesan daripada ledakan dunia IT di samping impak secara tidak langsung globalisasi dunia tanpa sempadan. Kita tidak menafikan bahawa kecenderungan masyarakat yang lebih berminat untuk mendapatkan maklumat melalui media baharu berbanding media arus perdana adalah disebabkan beberapa faktor. Pertamanya ialah maklumat melalui media baharu lebih cepat di sampaikan kepada khalayak pembaca di samping  mudah diakses oleh pengguna internet. Di tambahkan lagi, maklumat media baharu lebih bersifat bebas tanpa kekangan mana-mana pihak berbanding media arus perdana  yang sentiasa menerima tapisan berita dan hanya berita tertentu sahaja yang akan disiarkan kepada umum yang mana dikira sesuai diterima oleh khalayak pembaca. Selain itu, menurut Ooi Heng dalam makalahnya Media, Teknologi Maklumat dan Cabaran Semasa menyatakan bahawa media baharu sentiasa membekalkan sudut maklumat pemberitaan yang berbeza, pandangan dan analisis berlainan, kritikan serta maklumat yang lebih menyeluruh.  Malah, media baharu juga sering  dianggap sebagai saluran alternatif bagi mereka yang ingin menyebarkan dan menyiarkan pandangan yang lazimnya akan dipendam oleh media arus perdana.  Oleh yang demikian, tidak hairanlah jika media baharu sering mendapat akses yang lebih baik berbanding media arus perdana. Hal ini dapat dibuktikan melalui kajian Malaysian Digital Association (MDA) April 2011 telah mencatatkan portal berita Malaysia Kini telah menerima kunjungan paling ramai pelawat sebanyak 2.7 juta, diikuti The Star 2.4 juta,  dan Harian Metro 1.6 juta.

Bahasa Dalam Ruang Siber
Kewujudan pelbagai aplikasi komputer, laman web serta laman sosial seperti facebook dan twiter telah membuka  lembaran baru kepada dunia teknologi maklumat. Masyarakat pada abad ini diyakini abad ke-21 adalah masyarakat yang  lebih terdedah dengan dunia alam maya tanpa mengenal erti sempadan. Tidak dapat dinafikan perubahan yang pesat di alam maya ini bukan sahaja membawa perubahan besar dalam komuniti masyarakat dari segi politik, ekonomi, sosial serta  tidak ketinggalan juga dari sudut bahasa.
Elemen  bahasa di dalam ruang siber memang tidak boleh dinafikan kepentingannya. Hal ini disebabkan, apabila seseorang itu menzahirkan sesuatu perasaan,  idea, mahu pun kritikan  ia tidak boleh lari daripada menggunakan bahasa. Menurut Mohd Salleh Azman bahasa bukan semata-mata seberkas ayat atau satu set rumus tatabahasa. Bahasa adalah jiwa kepada bangsa atau masyarakat yang menuturkannya, lebih-lebih lagi kalau bahasa itu dituturkan sebagai bahasa ibunda atau bahasa etnik. Dalam konteks ini, bahasa ialah nadi kepada nyawa sesuatu bangsa atau masyarakat. Berdasarkan pandangan yang utarakan oleh Mohd Salleh Azaman, dapat penulis nyatakan bahawa bahasa bukan sahaja perlambangan yang membawa seberkas  makna, tetapi perlambangan ini dikandungi dengan unsur-unsur kejiwaan, dan budaya. Perkara ini boleh kita lihat kepada pengguna  bahasa dialek dalam  komuniti sesebuah  masyarakat. Apabila kita membincangkan soal bahasa dialek, secara mudah untuk kita fahami bahawa dialek ialah variasi bahasa yang terdapat di dalam bahasa Melayu. Variasi bahasa ini wujud disebabkan beberapa faktor antaranya faktor geografi, politik, masa dan juga perdagangan. Perkataan  dialek berasal daripada perkataan Yunani dialektos yang pada mulanya digunakan dalam hubungan dengan bahasa serta perbezaan-perbezaan kecil dalam bahasa yang digunakan oleh penduduk (Ayatrohaedi,1979:I). Ditambahkan lagi, menurut The New Croller Internitional Dictionary Of The English Language , New York 1971, dialek bererti satu bentuk keragaman tertentu daripada suatu bahasa atau variasi daripada bahasa yang sama keluarganya.
Namun, tidak ramai dalam kalangan kita yang menggunakan pendekatan dialek dalam menzahirkan sesebuah idea, kerana dikhuatiri sasaran idea yang ingin disampaikan bersifat terhad kepada kelompok masyarakat tertentu sahaja dan tidak menyeluruh  kepada sasaran kelompok yang lain. Hal ini disebabkan, dialek adalah bahasa yang lazimnya digunakan serta ditentukan oleh kawasan geografi atau keadaan sosial (Asmah haji Omar.1978:109). Mungkin pelbagai faktor inilah menyebabkan seseorang itu  mempertimbangkan untuk  menggunakan atau tidak menggunakan bahasa dialek di dalam ruang siber mahupun di laman sosial. 

Penggunaan Dialek Negeri Dalam Komunikasi Facebook
Laman sosial fecebook bukanlah sebuah laman sosial yang begitu asing ketika ini. Penulis yakin segenap lapisan masyarakat kita tidak kira muda atau yang sudah berusia mempunyai akaun facebook masing-masing. Hal ini lebih-lebih lagi tokoh-tokoh politik tanah air yang menggunakan laman sosial facebook sebagai wadah berkomunikasi bersama rakyat.  Pelbagai alasan yang diutarakan oleh khalayak masyarakat  apabila diajukan soalan mengapa memilih untuk membuka akaun facebook. Tidak menafikan ada yang menyatakan untuk menambah teman, meluaskan empayar perniagaan, berkongsi maklumat mahupun sekadar suka-suka.  Apa sahaja alasan yang diberikan, kita tidak boleh menyangkal bahawa laman sosial fecabook sudah menjadi kegilaan golongan masyarakat ketika ini. Walaupun kita dilambakkan dengan pelbagai laman sosial yang lain seperti twiter, namun laman sosial facebook tetap menjadi pilihan utama masyarakat di era globalisasi ini. Mungkin aplikasi yang mudah serta dilengkapi dengan pelbagai aplikasi-aplikasi lain yang disediakan oleh pihak pembekal telah menarik ribuan pengguna internet untuk membuka akaun facebook. Menurut social bakers.com yang menjalankan kajian pengguna facebook di seluruh dunia mendapati negara Malaysia menduduki tangga ke-18 daripada 50 negara dengan jumlah pengguna facebook seramai 13, 809, 800 orang. Daripada jumlah tersebut pecahan pengguna mengikut jantina adalah lelaki 54% manakala wanita adalah 46%. Di tambahkan lagi, berdasarkan analisis singkat penulis mendapati di dalam lingkungan rantau Asia Tenggara negara Malaysia menduduki tangga negara ke-4 pengguna terbesar  facebook  selepas Indonesia, Filipina, dan juga Thailand. Perkembangan pesat laman sosial pada masa ini secara tidak langsung telah membawa kita mengenali pelbagai lapisan masyarakat, yang berbeza dari segi  bahasa, budaya, dan juga sosial. Menurut Noriah Mohamed dalam makalahnya Komuniti  dan dialek Sosial Ruang Siber - Sembang  Ala Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka 2002 menjelaskan bahawa telah wujud komuniti manusia yang menyerupai komuniti manusia di dalam dunia sebenar yang dikenali dengan pelbagai istilah seperti komuniti siber, komuniti maya, komuniti talian, komuniti elektronik dan sebagainya Semua komuniti ini terkumpul di dalam ruang lingkungan yang sama dinamakan sebagai laman sosial. Tidak dinafikan bahawa laman sosial seperti facebook telah membuka pintu kepada kita untuk mengenali pelbagai golongan masyarakat mahupun individu yang mempunyai latar belakang yang berbeza.
Dari sudut  bahasa penulis amat berminat untuk melihat, meneliti serta menyelidik pengguna bahasa dialek negeri di dalam kalangan pengguna facebook.  Hal ini disebabkan, pengguna facebook bukan sahaja tergolong dalam kelompok tertentu sahaja malah ia datang dari pelbagai negeri dan latar belakang berbeza. Hal ini, sedikit sebanyak mempengaruhi komunikasi di laman facebook dengan terbawa-bawa unsur kenegerian dari sedut bahasa. Hal ini, sangat menarik untuk dikaji terutama cendekiawan bahasa kerana medium facebook yang sedia ada hari ini bukan sahaja menyalurkan infomasi-infomasi yang bermanfaat kepada pengguna tetapi tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa facebook juga sebagai medium percambahan bahasa di yakini dari sudut dialek.  Umun mengetahui, saban hari kita menggunakan laman sosial seperti facebook untuk bermacam-macam-macam perkara,   namun tanpa kita sedari ada kalanya kita menggunakan bahasa dialek negeri  sebagai medium perhubungan bersama teman-teman atau bahasa yang digunakan untuk mengemas kini status di akaun facebook masing-masing.
Pelbagai faktor yang membawa kepada keinginan individu terbabit menggunakan dialek negeri dalam komunikasi facebook antaranya ialah sikap ingin menonjolkan nilai kebudayaan serta bangga dengan nilai yang dipegang menjadi faktor utama seseorang individu terbabit  menggunakan dialek negeri. Sikap dan nilai kecintaan ini dicernakan dengan perlambangan-perlambangan dialek negeri yang dipunyai melalui media sosial seperti facebook. Di samping itu, bahasa dialek negeri  juga turut digunakan sebagai platform untuk merapatkan hubungan antara anggota laman sosial dalam kalangan kelompok penutur dialek yang sama diyakini dialek senegeri. Hal ini disebabkan, komunikasi yang wujud dengan menggunakan dialek  negeri yang sama lebih mudah difahami antara anggota penutur kerana bahasa yang digunakan mempunyai kod-kod bahasa yang sama.  Hal ini, banyak  penulis perhatikan di dalam kumpulan persatuan-persatuan anak negeri di universiti-universiti tempatan dan juga persatuan-persatuan yang berasaskan kenegerian. Dengan menggunakan medium bahasa dialek negeri sebagai wadah  penyampaian maklumat penulis perhatikan komunikasi antara mereka lebih lancar serta maksud yang ingin disampaikan  mudah difahami oleh kumpulan terbabit. Namun,  fenomena ini bukan secara total berlaku di dalam ruang sosial separti facebook.
Ditambahkan lagi, menurut Mohd Zaini Othman di dalam makalahnya Idolek dan Dialek terbitan Pelita Bahasa Januari 2005 menyatakan bahawa dialek wujud kerana adanya faktor perbezaan ruang atau kawasan geografi. Hal ini dapat kita lihat dengan jelas dari segi perbezaan penggunaan kosa kata. Contohnya sebutan /s/ pada perkataan tikus. Dialek Perak menyebut Tikoyh, Pulau Pinang Tikuyh, Kedah Tikuyh dan dialek Kelantan pula menyebut Tikuh. Umum mengetahui bahawa bahasa dialek negeri bukanlah suatu bahasa yang digunakan oleh semua kelompok masyarakat dinegara ini, kerana variasi bahasa dialek ini akan berubah mengikut kawasan atau daerah. Hal ini dikenali sebagai kajian dialek geografi. Menurut William Downes 1998 di dalam Language and Society, dialek geografi mempunyai perbezaan  yang nyata antara satu sama jika dialek tersebut terletak berjauhan  antara satu dengan yang lain. Perbezaan ini berlaku disebabkan faktor komuniti dialek atau rantai dialek. Menurut konsep ini apabila sesuatu dialek itu  berada berdekatan antara satu sama lain, maka darjah  kefahaman  menyaling bagi penutur dialek berkenaan tinggi jika ia berada berjauhan maka darjah kefahaman antara penutur dialek berkenaan semakin rendah menyebabkan penutur dialek A dan penutur dialek B tidak dapat memahami isi penyampai antara satu sama lain. Ditambahkan lagi, tidak semua dialek terbentuk disebabkan faktor geografi politik, sebagai contoh dialek negeri Kelantan tidak akan tamat sebaik sahaja melangkaui negeri Terengganu.   Sebagai contoh di kawasan Jertih Terengganu misalnya masyarakat di kawasan berkenaan  masih menggunakan  bahasa dialek Kelantan walaupun daerah Jertih  di dalam lingkungan negeri Terengganu. Hal ini menunjukkan bahawa pengguna bahasa dialek sesuatu negeri tidak terhad di kawasan atau wilayah politik tertentu sahaja tetapi hal ini berkait rapat dengan konsep rantai dialek yang dibincangkan sebentar tadi.   
Namun, konsep rantai dialek ini sedikit demi sedikit telah berjaya dipecahkan oleh arus globalisasi melalui laman sosial. Berdasarkan analisis ringkas penulis berpandukan kepada soal selidik yang di jalankan, 100 responden daripada 147  responden yang mengambil bahagian dalam soal selidik yang dijalankan, 68% menyatakan ‘Ya’  menggunakan bahasa dialek negeri lain selain negeri kelahiran asal dalam berkomunikasi dengan rakan-rakan di laman sosial dan 41 responden atau 28% responden menyatakan ‘Tidak’. Berdasarkan data yang diperolehi, dapat penulis dinyatakan bahawa konsep rantai dialek ini semakin cair kerana kesan daripada kewujudan laman sosial seperti facebook. Hal ini berlaku disebabkan laman sosial yang merentasi geopolitik telah membuka ruang kepada golongan penutur-penutur bahasa dialek diyakini  bukan penutur asli dialek sesebuah negeri terbabit mempelajari dialek-dialek negeri-negeri lain secara tidak langsung melalui laman sosial seperti facebook.  Penulis menyarankan agar ada cendekiawan bahasa  menjalankan kajian yang lebih mendalam untuk mengesahkannya.  
Fenomena penggunaan bahasa dialek negeri di laman sosial seperti facebook adalah satu sesuatu fenomena yang baik, kerana secara tidak langsung menyuburkan kembali  elemen penggunaan  bahasa dialek dalam kalangan generasi muda. Penulis yakin tidak ramai golongan muda ketika ini dapat menguasai bahasa dialek negeri masing-masing dengan baik. Hal ini disebabkan, faktor globalisasi yang menuntut kita menggunakan bahasa Melayu dengan betul dan sempurna serta pembangunan mapan negara menghendaki  masyarakatnya menguasai bahasa Inggeris sebagai medium perhubungan. Justeru pelestarian bahasa dialek  perlu dilakukan bagi memastikan bahasa dialek terus terpelihara sebagai wadah  warisan bangsa. 

Sumber

Buku
Ooi Heng.(2012). Media, Teknologi Maklumat dan Cabaran Semasa. Aida Idris & Abu Hassan Hasbullah (Eds.).
Kamal Shukri Abdullah Sani (2007), Bahasa Melayu Apa Sudah Jadi. Kuala Lumpur:PTS Publictions & Distributors Sdn.Bhd.

Internet
Rozali Rajab. (2012). Bahasa Melayu Dalam Dunia Globalisasi. Retrieved Februari 22,2013 from http://cikgu-rozali.blogspot.com/2012/05/bahasa-melayu-dalam-dunia-globalisasi.html  
http://www.digital.org.my Malaysian Digital Association (MDA)

Kertas Kerja
Adnan hussein,Hamidah Abd. Hamid, Siti Hajar Abd. Azizi. (2006). Media Baru Dan Wacana Sains: Isu Pengklonnan Melalui Blog Dan Aknbar Di Malaysia. Universiti Sains Malaysia 

Majalah
Noriah Mohamed. (2002). Komuniti dan Dialek Sosial ruang Siber – Sembang ala Malaysia. Dewan Bahasa, 16-25.
James T. Collins. (1997). Dialek Melayu dan Bahasa baku: Menghadapi Zaman Global. Dewan Bahasa, 13-22.
Raja  Yusoff Ariffin. (2005). Antara Bahasa Baku Dengan Dialek. Dewan Bahasa, 18-19.
Nik Safiah Karim. (1996). Antara Dialek Dengan bahasa Baku. Pelita Bahasa. 28-29.








Tiada ulasan:

Catat Ulasan